PETALING JAYA: Keperluan negara-negara ASEAN akan ditekankan demi membentuk kesepakatan serta mengukuhkan lagi soal ekonomi dan perdagangan di rantau ini ekoran kenaikan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penekanan tersebut dibuat pada mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-12 (AFMGM) yang bermula minggu ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri juga akan memanjangkan perbincangan yang diadakan bersama ketua-ketua negara ASEAN tempoh hari berhubung isu tarif Amerika Syarikat, dimana ia memerlukan perbincangan dan rundingan yang menyeluruh bagi membawa suara komuniti ASEAN.
“Berhubung impak geoekonomi susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan tentang langkah proaktif yang telah, sedang dan bakal diambil berasaskan kepada pendekatan ‘whole-of-nation’.
“Langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan termasuklah pengaktifan semula Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) dipengerusikan Perdana Menteri, penubuhan pasukan petugas oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada industri, mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan oleh MITI, rundingan strategik peringkat tertinggi secara langsung dengan Amerika Syarikat,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Kata Tunku Nashrul, usaha itu juga termasuklah memperluas pasaran eksport Malaysia ke rantau-rantau serta blok ekonomi baharu, di samping meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan baharu.
Katanya, Perdana Menteri mahu langkah-langkah tersebut diyakini akan memperkukuh daya tahan negara, menstabilkan pasaran, dan melindungi pekerjaan serta pelaburan rakyat.
“Walaupun lanskap ekonomi dunia sedang berhadapan dengan situasi sukar, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan daya tahan ekonomi Malaysia kuat, berupaya menampung gelombang ini untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Yang penting, ke semua sektor perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan pendekatan senegara bagi menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi kita.
“Justeru, Kerajaan Madani akan melipat gandakan komitmen memelihara dan memastikan akses pasaran tidak terjejas, selain terus menarik pelaburan asing, meneruskan agenda reformasi ekonomi atau industri bagi menyokong rantaian bekalan, serta kesejahteraan pekerja serta perniagaan di Malaysia,” ujarnya.
Mengulas Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-12 (AFMGM), Tunku Nashrul berkata, kira-kira 300 delegasi terdiri daripada Menteri Kewangan ASEAN, Gabenor Bank Pusat, pegawai daripada Institusi Kewangan Antarabangsa dan wakil sektor swasta akan menghadiri AFMGM yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga Khami omo.
“Perdana Menteri akan bertemu dengan para pelabur ASEAN dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Pelaburan ASEAN pada Selasa, 8 April 2025. Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri majlis penutup AFMGM pada Khamis, 10 April 2025,” katanya.-UTUSAN