Azmi sedia ‘berkhidmat’ sebagai Timbalan Presiden MOM

Sukan

PETALING JAYA: Hasrat untuk terus menabur bakti kepada sukan negara sentiasa menyala dalam diri Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Semangat itu menjadi pendorong untuk dirinya bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam pemilihan badan induk sukan negara itu.

Azmi yang juga bekas Ketua Kontinjen (CDM) negara ke temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dilihat antara calon paling berpengaruh dan berpengalaman untuk menjawat jawatan berkenaan.

Beliau bukan sahaja aktif dalam pembangunan sukan tempatan, malah Nur Azmi pernah menyandang beberapa jawatan utama dalam badan sukan lain seperti Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), sekali gus membuktikan kelayakannya untuk memegang jawatan No.2 tertinggi dalam MOM.

Nur Azmi Ahmad

Azmi yang juga pemilik kelab bola sepak, Melaka FC, berkata beliau turut mendapat sokongan daripada penyandang jawatan terdahulu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang dipercayai tidak akan mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan kali ini.

“Saya bersedia menggalas tanggungjawab itu sekiranya diberikan kepercayaan.

“Saya sudah berhubung dengan Hamidin untuk mendapatkan restu dan bekas Presiden FAM itu juga menyokong hasrat saya untuk bertanding jawatan yang bakal ditinggalkan itu.

“Saya berpegang pada prinsip untuk berkhidmat demi pembangunan sukan negara. Jika diberi peluang, saya akan teruskan usaha memartabatkan sukan Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang kini memegang jawatan Naib Presiden MOM.

Difahamkan, selain Azmi, beberapa tokoh lain turut berminat terhadap jawatan itu, namun belum ada pengesahan rasmi dibuat setakat ini.

Pemilihan jawatankuasa baharu MOM dijangka berlangsung di Wisma MOM dan pertandingan kali ini dijangka sengit dengan beberapa nama besar turut disebut-sebut bakal mencabar beberapa jawatan utama.

Jawatan Timbalan Presiden MOM dianggap antara kedudukan paling penting kerana peranannya sebagai penyambung tugas Presiden selain terlibat secara langsung dalam perancangan jangka panjang, terutamanya dalam persiapan mengharungi temasya besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.

Nur Azmi memainkan peranan penting ketika mengetuai kontinjen negara di Sukan SEA 2021, di mana Malaysia berjaya meraih 39 pingat emas, 45 pingat perak, dan 89 pingat gangsa.

Kejayaan itu berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan keenam dalam senarai kedudukan pingat secara keseluruhan.

Pencalonan Azmi disifatkan sebagai satu langkah positif ke arah pemantapan kepimpinan MOM yang lebih progresif, inklusif dan mendukung agenda pembangunan sukan negara.-UTUSAN