AEON lancar cawangan baharu di Johor Bahru

Perniagaan

PETALING JAYA: AEON melancarkan AEON MALL Shopping Tour Program di AEON Mall Bukit Indah, Johor Bahru, menandakan satu lagi pencapaian baharu dalam pengalaman beli-belah rentas sempadan khasnya bagi pengunjung dari Singapura.

AEON MALL Shopping Tour Program yang bermula dari Mac 2025 hingga Mei 2025 menawarkan percutian beli-belah yang lancar dan menyeronokkan untuk penduduk Singapura.

Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada berkata, komitmen syarikat terhadap pengembangan runcit rentas sempadan selaras dengan visi strategik untuk memperkukuh ekosistem beli-belah serantau.

“Dengan memanfaatkan rangkaian runcit yang luas dan kerjasama strategik, AEON terus menerajui inisiatif inovatif yang meningkatkan pengalaman pelanggan serta menjadikan Johor Bahru sebagai destinasi beli-belah utama bagi pelawat antarabangsa.

“Program ini dijangka meningkatkan jumlah pengunjung dan jualan di AEON Malls sekitar Johor Bahru, sekali gus memperkukuh kedudukan bandar ini sebagai hab runcit utama bagi pelancong antarabangsa, khususnya dari Singapura.

“Di hari pelancaran, para pengunjung menikmati pengalaman beli-belah yang eksklusif di beberapa pasar raya AEON di Johor Bahru, termasuk AEON MALL Tebrau City, AEON MALL Bandar Dato Onn, AEON MALL Bukit Indah dan AEON MALL Kulaijaya.

“Pengunjung turut menikmati pengalaman beli-belah yang memuaskan dan menarik melalui diskaun sehingga 50 peratus, penebusan hadiah premium eksklusif, hadiah percuma, dan baucar tunai,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pengunjung juga turut memuji perkhidmatan bas ulang-alik yang selesa, lengkap dengan Wi-Fi dan hiburan di dalam bas, menjadikan perjalanan mereka lebih menyeronokkan.

“Acara ini berjaya mempamerkan keunggulan runcit, gaya hidup, dan hiburan Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen AEON Mall Malaysia dalam menyediakan pengalaman beli-belah yang luar biasa kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN