e-Invois jadi beban peniaga kecil

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan e-Invois sebagai langkah memperkasakan sistem percukaian negara adalah satu inisiatif yang baik dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan cukai.

Namun, pelaksanaannya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga kecil, terutamanya dalam talian yang terpaksa berdepan dengan cabaran baharu.

e-Invois diperkenalkan secara berperingkat, bermula dengan syarikat besar yang mempunyai perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta, diikuti oleh syarikat dengan pendapatan RM25 juta hingga RM100 juta pada Januari 2025.

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai jualan tahunan kurang daripada RM150,000, pelaksanaannya ditangguhkan hingga 1 Januari 2026.

Walaupun bertujuan untuk pematuhan cukai yang lebih sistematik, e-Invois menjadi cabaran kepada peniaga kecil.

Kerajaan memberi pengecualian kepada peniaga kedai zikal yang berpendapatan tahunan di bawah RM150,000, tetapi tidak kepada peniaga dalam talian.

Penjual kosmetik dalam talian yang hanya mahu dikenali sebagai Atikah, meluahkan kekeliruannya apabila mengetahui e-Invois turut diwajibkan ke atas perniagaan kecil-kecilan.

Katanya, keperluan mengeluarkan invois bagi setiap transaksi adalah beban tambahan, lebih-lebih lagi dia tidak pasti bagaimana untuk menguruskan e-Invois.

Pandangan sama turut dilontarkan pemilik perniagaan pakaian dalam talian yang ingin dikenali sebagai Yaya, menyatakan e-invois adalah beban tambahan buat peniaga sepertinya yang perlu menguruskan pesanan, pemasaran dan khidmat pelanggan, lantas menyebabkan sistem itu menambahkan lagi kerumitannya.

Sementara itu, pemilik kedai pakaian wanita, Aida pula berharap ada pengecualian atau sistem yang lebih eksibel dalam membantu peniaga kecil sepertinya.

Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan realiti di lapangan sebelum mewajibkan peraturan yang boleh menekan pertumbuhan perniagaan kecil. Langkah lebih fleksibel diperlukan agar pelaksanaan e-Invois tidak membebankan golongan ini. – UTUSAN