KUALA LUMPUR: Pasaran sukuk di ASEAN mencatatkan pertumbuhan yang stabil dengan sukuk terkumpul meningkat daripada AS$364 bilion (RM1.63 trilion) pada 2021 kepada AS$414 bilion pada 2023 (RM1.85 trilion).
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, Malaysia dan Indonesia merupakan negara terbesar bagi penerbitan sukuk.
Ujarnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sukuk semakin diterima sebagai instrumen untuk membiayai pembangunan ekonomi di rantau ini termasuk dalam sektor infrastruktur, pengangkutan dan pendidikan, sebagai contoh, Indonesia menerbitkan sukuk hijau yang pertama di dunia pada 2018.
“Hasil penerbitan sukuk ini telah diperuntukkan untuk projek-projek alam sekitar dan iklim dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan pengangkutan lestari.
“Dengan memanfaatkan instrumen kewangan Islam, negara-negara ASEAN mendapat akses kepada kumpulan pelabur yang lebih besar, termasuk pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh syariah.
“Saya dengan ini mengundang komuniti pelaburan untuk memanfaatkan ekosistem kewangan Islam di Malaysia yang bersifat pelbagai dan mencapai tahap matang,” katanya dalam ucapan di Persidangan Meja Bulat bersama pelabur ASEAN di sini.
Abdul Rasheed berkata, ASEAN mencapai kemajuan yang menggalakkan dalam usaha meletakkan asas untuk menggembleng modal swasta ke arah kewangan iklim dan kewangan mampan.
“Kemajuan ini termasuk inisiatif seperti ASEAN Green Bond Standards dan ASEAN Taxonomy for Sustainable Finance.
“Walau bagaimanapun, pelaburan sektor swasta dalam projek iklim masih tidak mencukupi dan perlu ditingkatkan berikutan skala pelaburan yang diperlukan oleh rantau ini.
“Seandainya dibuat pengagihan semula sebanyak lima peratus sahaja daripada pendanaan pelabur institusi Asia kepada aktiviti berkaitan iklim, sebanyak AS$8 bilion (RM 35.75 bilion hingga AS$10 bilion (RM44.69 bilion) aliran tambahan akan mampu dijana setiap tahun.
“Namun begitu, lebih banyak usaha diperlukan untuk mencapai matlamat iklim terbesar bagi rantau ini. Dengan anggaran sebanyak AS$422 bilion (DM1.89 trilion) yang diperlukan menjelang 2030 untuk mitigasi dan adaptasi iklim, masih terdapat jurang besar antara keperluan pembiayaan dengan aliran pembiayaan semasa,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, tiada satu pihak pun yang mampu atau patut memikul tanggungjawab ini sendirian.
“Bagi merapatkan jurang ini, pendekatan praktikal dan kolaboratif yang melibatkan sektor awam, swasta, dan kedermawanan sangat diperlukan.
“Saya yakin bahawa perkongsian awam, swasta dan kedermawanan bukan sahaja dihasratkan malah menjadi aspek yang sangat penting untuk meraih potensi penuh bagi pengurangan karbon ASEAN,” katanya. – UTUSAN