Cikgu Rafee lawan Shamsul di Hang Tuah Jaya

Politik

MELAKA: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Mohd. Rafee Ibrahim akan mempertahankan jawatan Ke­tua PKR Cabang Hang Tuah Jaya (HTJ) buat penggal ketiga, meskipun perlu berdepan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin pada pemilihan 12 April ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Rafee berkata, beliau akan bergandingan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim sebagai calon Timbalan Ketua PKR Cabang HTJ.
“Saya bertanding atas dasar telah bergerak pada awal penubuhan parti pada 1999. Saya menawarkan diri bertanding bukan atas populariti tetapi sebaliknya sebagai penyandang dan Pengerusi PKR Melaka.

“Saya rasa masyarakat di sini cukup mengenali saya ter­utama ahli parti, akar umbi dan saya rasa tidak ada masalah untuk saya menawarkan diri se­kali lagi untuk jawatan ini.

“Lebih penting gandingan saya dengan Adam Adli sebagai Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan cukup ampuh untuk menarik minat ahli parti untuk buat pilihan,” katanya.

Sebelum ini, Shamsul Iskandar memaklumkan beliau yakin akan memenangi jawatan Ketua PKR Cabang HTJ apabila berdepan Mohd. Rafee.

Shamsul Iskandar berkata, kekalahan pada pemilihan penggal lalu kepada Mohd. Rafee tidak sama sekali mematahkan semangatnya untuk me­rampas kembali jawatan itu.

Sementara itu, tambah Mohd. Rafee, jika ahli parti memilih gandingannya dengan Adam Adli, maka akan lebih memudahkan penyaluran sumbangan dan bantuan kepada masyarakat.

Bagaimanapun, beliau me­ngakui potensi kemenangannya menentang Shamsul Iskandar adalah 50-50 kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Saya akui Shamsul Iskandar lebih popular berbanding saya kerana beliau adalah Setia­usaha Politik Kanan Perdana Menteri sedangkan saya hanya Pengerusi PKR Melaka,” ujar­nya.

Pada Pemilihan PKR 2022, Mohd. Rafee memperoleh 488 undi menewaskan Shamsul Iskandar yang mendapat 379 undi.-UTUSAN.