Mesyuarat khas menteri ekonomi ASEAN Khamis ini

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri ekonomi ASEAN akan bersidang dalam satu mesyuarat khas pada hari Khamis ini bagi membincangkan respons serantau yang diselaraskan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, mesyuarat yang dihoskan oleh Malaysia itu bertujuan merangka satu respons yang bersatu padu.

“Perancangan kita adalah untuk memastikan semua perbincangan, keputusan dan cadangan dibuat secara konsensus, selaras dengan semangat keterpusatan ASEAN.

“Segala hasil perbincangan ini kemudian akan dibawa ke peringkat pemimpin-pemimpin ASEAN untuk perbincangan, penerimaan dan seterusnya mengeluarkan satu kenyataan bersama,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan penutup pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025.

Tengku Zafrul berkata, antara isu utama yang akan dibincangkan adalah mengenai tarif, khususnya sama ada terdapat persefahaman bersama bahawa tarif yang dikenakan terhadap negara anggota ASEAN tidak mencerminkan prinsip timbal balik secara adil.

Mereka juga akan membincangkan bagaimana ASEAN, sebagai satu blok ekonomi boleh memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara Asean sendiri.

“Seperti yang kita sedia maklum, perdagangan dalam kalangan negara Asean kini kurang daripada 25 peratus.

“Kita akan pastikan semasa Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN, mencuba memasukkan penambahbaikan terhadap perjanjian perdagangan bebas serantau serta memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital, sebagai contoh.

“Akhir sekali, ASEAN bersama 11 rakan dialog kita juga perlu melihat bagaimana kita boleh memperkukuhkan hubungan kerjasama tersebut,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan masa depan Asean berisiko untuk terganggu dengan serius.

Beliau menekankan bahawa pengumuman tarif terbaru oleh Amerika Syarikat (AS) telah menggegarkan pasaran dan mewujudkan ketidaktentuan, khususnya bagi negara-negara yang mengamalkan perdagangan terbuka dan ekonomi yang sangat bergantung kepada eksport seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

“Walaupun persekitaran global mungkin berubah, keteguhan tekad kita kekal utuh.

“Negara-negara anggota ASEAN mesti kekal tenang dan bekerjasama untuk mempersiapkan rantau ini menghadapi masa-masa sukar yang mendatang,” katanya. – UTUSAN