TAPAH: Yang Dipertua Pas Tapah, Ustaz Abdul Muhaimin Malek, 44, dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Beliau disytiharkan sebagai calon dalam saingan tiga penjuru setakat ini berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Saya amat bersyukur kerana terpilih dan berjanji akan melaksanakan tugas yang berat ini sebaik mungkin’” kata Abdul Muhaimin pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional PRK N.48 Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road di sini hari ini.
Muhaimin merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tapah, selain pengetua sebuah maahad tahfiz swasta di Ayer Kuning.
Anak jati Kampung Baru Ayer Kuning ini mempunyai tujuh orang anak dan merupakan seorang guru agama yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan Dan Pembangunan Insan Bidor.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. – UTUSAN