PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China, malam tadi.
Pasangan berpengalaman itu mengetepikan cabaran gandingan muda India, K. Sathish-V. Aadya 21-18, 21-19 dalam tempoh 38 minit.
Turut melangkah ke pusingan seterusnya ialah gandingan muda negara, Yap Roy King-Valeree Siow selepas bangkit menewaskan pasangan India, K. Rohan-G. Shivani 18-21, 21-17, 21-17 dalam pertarungan sengit selama 56 minit.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang terpaksa akur tewas kepada D. Kapila-T. Crasto dari India 15-21, 21-12, 21-11 dalam masa 51 minit.
Satu lagi pasangan beregu campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut tersingkir selepas tewas kepada wakil Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 16-21, 14-21 dalam aksi 40 minit.
Sementara itu, beregu wanita profesional negara, Lee Zhi Qing-Sue Xin Tio gagal meneruskan kemaraan apabila terkandas di peringkat kelayakan.
Dalam acara perseorangan, pemain muda negara, Justin Hoh dan Wong Ling Ching berjaya mara ke pusingan pertama selepas melepasi halangan dalam aksi kelayakan. – UTUSAN