Malaysia, Kemboja lancar pembayaran QR rentas sempadan

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kemboja melancarkan Fasa Kedua jalinan pembayaran kod respon pantas (QR) rentas sempadan.

Ia membolehkan pengguna tempatan membuat pembayaran secara serta-merta kepada peniaga di Kemboja melalui imbasan KHQR menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih daripada institusi kewangan peserta.

Pengguna dari Kemboja yang mengunjungi Malaysia turut boleh membuat pembayaran menggunakan aplikasi Bakong dengan mengimbas DuitNow QR, kemudahan yang mula diperkenalkan dalam Fasa Pertama inisiatif tersebut.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, selaras peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, pelancaran fasa baharu itu akan memacu lagi kesalinghubungan sistem pembayaran dalam rantau ini.

“Banyak perniagaan kecil dan individu di seluruh ASEAN dijangka meraih manfaat daripada pembayaran QR rentas sempadan secara serta-merta.

“Inisiatif ini akan terus menyokong integrasi kewangan lebih mendalam dalam kalangan ekonomi ASEAN.

“BNM komited memperluas jangkauan jalinan pembayaran dengan rakan serantau dan antarabangsa bagi membentuk rangkaian sistem pembayaran yang inklusif dan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Gabenor National Bank of Cambodia (NBC), Dr. Chea Serey berkata, kemajuan tersebut bukan sahaja memudahkan transaksi rentas sempadan, malah membuka potensi besar dalam sektor pelancongan dan rangkuman kewangan.

“Ia memberi peluang kepada pengguna Malaysia membuat pembayaran mudah ketika berada di Kemboja dan menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu kepada rangkaian ekonomi lebih luas.

“Inisiatif ini bukan sekadar pencapaian teknikal tetapi mencerminkan jalinan erat dari segi budaya, ekonomi dan hubungan rakyat antara kedua-dua negara.

“Langkah ini selaras komitmen NBC memanfaatkan teknologi untuk pertumbuhan mampan dan inklusif agar semua peniaga, termasuk peniaga kecil di Kemboja dan Malaysia, dapat menyertai ekonomi digital global,” katanya.

Pelaksanaan sistem pembayaran QR dua hala ini direalisasikan melalui kerjasama erat antara BNM dan NBC bersama rakan kongsi tempatan.

Antara rakan terlibat ialah Maybank selaku bank penaja dan bank penyelesaian, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) serta institusi kewangan peserta dari kedua-dua negara. – UTUSAN