KPKT pulih 1,016 projek perumahan bernilai RM98.96 billion

Perniagaan

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan semula sebanyak 1,016 projek perumahan bernilai RM98.96 bilion melibatkan 122,083 unit rumah.

Ia hasil daripada pasukan petugas khas yang memantau projek perubahan swasta sakit dan terbengkalai sejak Disember 2022 hingga 28 Februari 2025.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, masalah perumahan terbengkalai yang berlarutan telah menyebabkan kesulitan yang teruk kepada ribuan pembeli rumah di Malaysia dan menstabilkan pasaran hartanah. 

“Banyak keluarga terus membayar untuk rumah yang tidak dapat mereka diami, sambil bergelut dengan kos sewa. 

“Malah, impak masalah ini melangkaui setiap isi ruma iaitu projek terbengkalai menyebabkan kemerosotan kejiranan, penurunan nilai hartanah dan peningkatan kebimbangan keselamatan, yang memberi kesan kepada seluruh komuniti,” katanya dalam ucapan selepas merasmikan Simposium Strata Antarabangsa di sini semalam.

Sejak Januari 2024 hingga Februari 2025, KPKT telah mengeluarkan 527 notis, yang membawa kepada denda berjumlah RM10.28 juta. 

Kor Ming berkata, pihaknya berhasrat untuk membentangkan Akta Pembaharuan Semula Bandar pada Jun ini. 

“Rang undang-undang ini mengandungi empat elemen utama iaitu pembangunan semula bandar, regenerasi bandar, revitalisasi bandar dan pemuliharaan bandar. 

“Keutamaan kami adalah memastikan pendekatan yang tersusun dan inklusif terhadap pembangunan, selaras dengan prinsip kami iaitu tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir,” katanya. 

Kor Ming berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan hukuman yang lebih berat termasuk larangan perjalanan untuk pemaju yang didapati bersalah atas amalan penipuan melalui pindaan yang dicadangkan kepada Akta Pembangunan Perumahan. 

“Kami komited untuk menegakkan standard yang tinggi dalam pasaran hartanah kami, memulihkan keyakinan pembeli rumah dan menghapuskan dari industri, terutamanya mereka yang membahayakan kepentingan pembeli rumah.

“Namun, lebih banyak yang perlu dilakukan. Semalam, kami mengumumkan sebanyak 109 pemaju telah disenaraihitamkan kerana tidak mematuhi peraturan, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk melindungi kepentingan pembeli rumah,” katanya. 

Kor Ming berkata, kebanyakan pelanggaran melibatkan pemaju yang gagal mengemukakan laporan yang diperlukan seperti kemas kini status pembangunan, laporan audit, penyata kewangan atau penyata untung rugi kepada Jabatan Perumahan Negara. 

“Laporan-laporan ini adalah bahagian penting dalam usaha kami untuk memastikan penghantaran projek perumahan tepat pada masanya dan untuk mengurangkan risiko pembangunan yang terbengkalai,” katanya. – UTUSAN