Dipilih sebagai calon amanah yang terlalu besar

Politik

TAPAH: Ustaz Abd. Muhaimin Malek, 44, yang dipilih calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menganggap pemilihannya sebagai satu tugas dan amanah yang besar.

Beliau yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tapah, berkata, bersedia menggalas amanah yang besar itu.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh kepimpinan PN yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon di DUN Ayer Kuning kali ini.

“Sesungguhnya, ini adalah amanah yang terlalu besar walaupun belum tahu keputusan menang atau kalah,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRK N.48 Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Katanya, dengan sokongan, restu dan doa seluruh rakyat di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ayer Kuning dan jentera, PN boleh memberikan saingan yang signifikan pada PRK kali ini.

“Saya mohon restu dan doa seluruh kawan-kawan, rakan-rakan, para pengundi. Mohon kepada Allah agar saya diberikan kekuatan luar biasa untuk berkhidmat di tempat ini untuk menabur bakti dan jasa di DUN Ayer Kuning ini.

“Semoga Allah ampunkan dosa, merahmati dan memberkati tuan-tuan semua. Bantulah saya dan Perikatan Nasional.

“Berilah peluang untuk kita (kami) mentadbir, mengurus kawasan ini (DUN Ayer Kuning) dengan penuh keikhlasan, ketulusan, kejujuran, keadilan berpaksikan prinsip Islam dan nilai-nilai murni dalam agama ini,” katanya. – UTUSAN