Adam Adli sahkan tanding Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya

Politik

MELAKA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim mengesahkan bertanding jawatan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hang Tuah Jaya (HTJ) pada pemilihan Sabtu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Adam Adli berkata, ia adalah sebagai salah satu cara untuk terus menyumbang jasa dalam parti dan memperkukuhkan kekuatan PKR di Parlimen itu.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan bertanding jawatan itu bergandingan dengan Ketua PKR Cabang HTJ, Mohd. Rafee Ibrahim yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka. 

“Saya tidak kisah bertanding timbalan kerana saya menghormati cikgu Rafee sebagai orang paling lama menubuhkan cabang di HTJ, jadi biarlah beliau mempertahankan jawatan yang dimenangi sejak dua penggal lalu.

“Sebagai pemimpin muda dan duduk dalam kerajaan, saya bersedia membantu cikgu Rafee. Saya yakin kepemimpinannya sejak dulu hingga kini telah membuktikan keutuhan cabang ini yang merupakan antara terbesar iaitu mempunyai keahlian hampir 4,000 orang.

“Saya datang dari Angkatan Muda Keadilan (AMK), di peringkat cabang kita nampak penyandang jawatan ini berjaya memperkukuhkan kedudukan parti sehingga saya berjaya menang sebagai Ahli Parlimen HTJ pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu,” katanya.

Mengulas pertembungan sengit di cabang berkenaan apabila Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin turut menawarkan diri bertanding jawatan Ketua PKR Cabang HTJ, Adam Adli berkata, pertandingan adalah perkara biasa di semua cabang.

Menurutnya, setiap yang bertanding memang berkehendak untuk menang, namun beliau menganggap situasi itu tidak menyebabkan berlakunya perpecahan dalam parti.

“Sebab itu saya memberi sokongan kepada cikgu Rafee sebagai penyandang kerana saya ingin melihat cabang ini bergerak dengan baik terutama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun depan.

“Di bawah kepemimpinan penyandang yang telah diberi mandat pada pemilihan penggal lalu, beliau telah melaksanakan tugas dengan baik dan menjaga parti dengan sempurna,” ujarnya. – UTUSAN