PETALING JAYA: Beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas menewaskan bekas juara dunia 2021 Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, dengan kemenangan bergaya 21-16, 21-18, dalam masa hanya 37 minit, hari ini.
Pasangan No. 2 dunia itu mempamerkan aksi mantap, menguasai perlawanan dengan penuh keyakinan dan ketenangan yang luar biasa.
Kemenangan ini juga mencatatkan kemenangan kedua mereka dalam lima pertemuan dengan pasangan Jepun, yang kembali beraksi selepas lama berehat akibat kecederaan.
Pada pusingan seterusnya, mereka bakal berdepan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, yang dijangka menjadi cabaran besar.
Turut mara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengharumkan nama negara dengan kemenangan 21-14, 21-12 ke atas pasangan Hong Kong, Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi dalam hanya 26 minit.
Mereka akan bertemu pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han bagi menentukan tempat di suku akhir.
Dalam perseorangan wanita, Goh Jin Wei menunjukkan prestasi cemerlang apabila menewaskan pemain Taiwan, Sung Shuo Yun, 21-16, 21-13 dalam 41 minit, dan akan bertemu Supanida Katethong dari Thailand pada pusingan kedua.
Wong Ling Cing pula terpaksa akur dengan kekalahan kepada Komang Ayu Cahya Dewi dari Indonesia, 21-17, 16-21, 21-17 dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 60 minit.
Bagi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao gagal melangkah lebih jauh selepas tewas kepada pemain Taiwan, Lin Chun Yi, 11-21, 19-21 dalam 42 minit.
Acara beregu wanita pula, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menempah tiket ke pusingan seterusnya selepas menewaskan rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, dalam perlawanan sengit 21-18, 19-21, 21-16 yang berlangsung selama 71 minit. – UTUSAN