MSN Perak pertama miliki kolam hidroterapi atlet

Sukan

IPOH: Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak menjadi majlis sukan negeri pertama yang mempunyai kolam hidroterapi bagi membantu pembangunan atlet di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kolam tersebut berfungsi sebagai tempat pemulihan kecederaan, mempercepatkan pemulihan tisu otot, mengurangkan tekanan pada sendi dan menyokong proses rehabilitasi.

Jelasnya, kemudahan yang bernilai RM1.92 juta itu merupakan pelaburan strategik untuk memperkukuh sistem pemulihan dan rehabilitasi atlet secara saintifik dan klinikal.

“Ia juga membantu meningkatkan kekuatan fizikal dan mental atlet Perak menjelang kejohanan besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya semasa majlis perasmian kolam tersebut dan penyerahan geran bantuan kepada persatuan-persatuan sukan negeri di sini hari ini.

Kolam itu dibina melalui peruntukan belanjawan negeri tahun lalu dengan pembinaan bermula pada Januari 2024 dan siap pada Februari 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, kolam itu mempunyai dua fungsi iaitu kolam panas dan sejuk yang dapat mempercepatkan pemulihan atlet dan meningkatkan peredaran darah supaya kembali cergas untuk menjalani latihan seperti biasa.

“Lebih membanggakan, MSN Perak merupakan majlis sukan negeri pertama yang mempunyai fasiliti berteknologi tinggi ini. Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan prasarana sukan yang canggih dan setanding dengan pusat sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, Saarani berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan Geran Bantuan berjumlah RM90,000 kepada 45 Persatuan Sukan Negeri (PSK) manakala Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (Pesron) menerima RM35,000.

Beliau juga, mahu atlet negeri menggandakan usaha supaya pencapaian positif semasa Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 dapat diteruskan dalam edisi seterusnya di Selangor pada 2026. – UTUSAN