AIRA, Xin Ying, Ameeshanraj tersingkir di separuh akhir Kejohanan Dunia

Sukan

PETALING JAYA: Tiga wakil negara, Aira Azman, Yee Xin Ying dan C. Ameeshanraj terkandas di separuh akhir pada Kejohanan Dunia Skuasy Bawah 23 Tahun di Karachi, Pakistan, malam tadi.

Aira yang diletakkan sebagai pilihan 3/4 terpaksa akur kepada pilihan pertama, Fayrouz Aboelkheir dari Mesir dalam pertarungan empat set 8-11, 7-11, 11-7, 4-11 di Kelab DHA Creek.

Turut tersingkir, Yee Xin Ying yang tewas kepada wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk dalam aksi yang berlanjutan lima set 7-11, 6-11, 11-4, 11-7, 3-11.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, Ameeshanraj tidak melengkapkan aksinya pada separuh akhir akibat kecederaan.

Pemain berusia 21 tahun itu mengambil keputusan menarik diri ketika dia ketinggalan 6-11, 2-11, 4-6 kepada wakil tuan rumah, Noor Zaman yang juga merupakan pilihan kedua kejohanan.

Perlawanan akhir kejohanan dunia yang julung kali diadakan tahun ini menemukan Sin Yuk menentang Fayrouz dalam aksi wanita.

Bagi saingan lelaki pula, Noor Zaman bakal berdepan wakil Mesir sama ada pilihan pertama, Ibrahim Elkabani ataupun Kareem El Torkey yang diletakkan sebagai pilihan 3/4. – UTUSAN