Agrobank lancar Cawangan Hijau pertama di Bagan Serai

Perniagaan

BAGAN SERAI: Agrobank memperkenalkan inisiatif hijau terbaru dengan menjadikan Cawangan Hijau pertama mereka di Bagan Serai sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mencapai kelestarian alam sekitar dan menyokong matlamat negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, cawangan Agrobank di Bagan Serai ini adalah cawangan hijau pertama mengamalkan amalan lestari seperti penggunaan tenaga solar, sistem lampu LED, dan pengurusan air hujan, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga membantu mengurangkan kos operasi.

“’Agrobank komited untuk mengurangkan jejak karbon dengan memperkenalkan teknologi hijau di cawangannya yang bukan sahaja meningkatkan keberkesanan operasinya, tetapi juga memberi contoh kepada sektor perbankan dalam menyokong kelestarian alam sekitar.

“Amalan hijau bukan hanya baik untuk alam sekitar, tetapi juga memberikan penjimatan yang signifikan dalam kos operasi kami melalui penggunaan panel solar yang mana setiap cawangan Agrobank dijangka dapat menjimatkan sehingga 45% daripada bil elektrik bulanan mereka.’’katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Cawangan Hijau Pertama AgroBank Bagan Serai yang di rasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad di sini hari ini.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, Agrobank mempunyai pelan yang lebih besar untuk memperluaskan amalan hijau ini ke seluruh rangkaian cawangannya.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan untuk menyiapkan 18 cawangan hijau sehingga hujung tahun ini dan menambah lagi 50 cawangan menjelang 2026 dengan sasaran keseluruhan sebanyak 138 cawangan hijau.

“Setiap cawangan akan dipasang dengan sekitar 40 panel solar, yang mampu menghasilkan kira-kira 20 megawatt-jam tenaga.

‘’Kos pemasangan panel solar di setiap cawangan dianggarkan antara RM40,000 hingga RM50,000, namun penjimatan yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan taraf cawangan lain dan mendanai inisiatif kelestarian seperti pengisian kenderaan elektrik (EV) dan elektrifikasi cawangan.’katanya

Tambahnya , Agrobank juga menggalakkan pelanggan mereka untuk mengadaptasi amalan hijau ini dengan tawaran pembiayaan tenaga hijau sehingga RM1 juta dengan kadar faedah serendah dua peratus.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Agrobank turut memperkenalkan kriteria hijau dalam produk pinjaman mereka, termasuk pinjaman untuk sektor pertanian, yang menyokong amalan lestari dalam bidang pertanian di seluruh negara.

Menurutnya, Agrobank merupakan antara Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) pertama yang menyokong inisiatif ini, seiring dengan sasaran Bank Negara yang mensasarkan 30 peratus daripada pinjaman untuk dikaitkan dengan aktiviti hijau.

“Subsidi kerajaan yang menyokong penggunaan teknologi hijau juga memberikan insentif yang menarik untuk sektor perbankan dan perniagaan yang terlibat dalam inisiatif kelestarian dan Ini adalah langkah penting dalam menjadikan sektor pertanian lebih mampan dan selaras dengan matlamat negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.’katanya

Tambahnya, pelancaran Cawangan Hijau Bagan Serai ini bukan sahaja menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Agrobank ke arah kelestarian, tetapi juga menunjukkan peranan aktif sektor kewangan dalam menyokong agenda perubahan iklim dan kelestarian negara. – UTUSAN