PRK Ayer Kuning: Calon BN sudah letak jawatan di IPG

Politik

TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Mohamad Yusri Bakir sudah meletak jawatan sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Sebelum ini pembangkang mempersoalkan mengenai Mohamad Yusri, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah terlibat aktif dalam politik semasa berkhidmat sebagai penjawat awam kanan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Mohamad Yusri sudah meletak jawatan sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPG Kampus Ipoh hari ini.

“Dah letak jawatan hari ini, dia akan dapat surat pelepasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Seminar Keibubapaan Murid Orang Asli anjuran Yayasan Perak di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini hari ini.

Sementara itu, berhubung calon BN dan Perikatan Nasional (PN) yang kedua-duanya merupakan golongan profesional bergelar ustaz, Saarani berkata, perkara itu bersifat subjektif.

“Kita bukan nak pertandingkan antara ustaz dengan ustaz tetapi menawarkan seorang wakil rakyat yang baik.

“Baik ini pun subjektif juga tetapi kita harap pengundi dengan rasionalnya memilih macam saya selalu sebut pelik kalau orang Ayer Kuning nak memilih jadi pembangkang,” katanya.

Katanya, pengundi Ayer Kuning sangat bijaksana bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu.

“Tak salah kalau ada orang Pas dan Bersatu nak kekal (dalam parti) saya tidak marah tetapi undi BN untuk pilih wakil rakyat kerajaan yang akan terus berbuat kebajikan,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.

Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. – UTUSAN