PETALING JAYA: Beregu campuran nombor satu negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mempamerkan aksi konsisten apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, hari ini.
Pilihan ketiga kejohanan itu menundukkan pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-17, 21-14 dalam tempoh 39 minit pada aksi pusingan kedua di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China.
Kemenangan itu turut membolehkan mereka menyamai rekod pertemuan 3-3 selepas kali terakhir pasangan negara itu tewas kepada lawan yang sama di suku akhir Terbuka Switzerland, Mac lalu.
Soon Huat-Shevon dijadual menentang Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu esok selepas pasangan dari Indonesia itu menewaskan Chen Cheng Kuan-Hsu Yin-Hui dari Taiwan 21-9, 21-7.
Sementara itu, bagi acara perseorangan lelaki, wakil negara, Justin Hoh tumpas kepada pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie 21-13, 21-19 dalam tempoh 46 minit.
Perseorangan wanita pula menyaksikan wakil negara Goh Jin Wei kalah kepada pilihan ketujuh kejohanan dari Thailand, Supanida Katethong 21-15, 21-16. – UTUSAN