OM sasar bawa masuk 22 jurulatih menjelang 2026

Sukan

PETALING JAYA: Pengambilan jurulatih dari luar negara yang pernah membimbing pemenang pingat emas di Sukan Olimpik dijangka mampu meningkatkan prestasi skuad olahraga negara.

Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (OM), Robert Ballard berkata, jurulatih berkenaan antara 22 muka baharu yang akan dibawa dalam barisan kejurulatihan menjelang 2026.

Katanya, pengambilan itu bagi menampung kekurangan barisan kejurulatihan selepas badan induk itu hanya memiliki sembilan jurulatih ketika ini untuk memantau perkembangan atlet.

“Ini adalah salah satu cara yang kami percaya dapat tingkatkan mutu olahraga negara. Kami mahukan jurulatih kebangsaan bukan sahaja secara berpusat tetapi turut membantu membangunkan atlet di negeri-negeri melalui sistem hibrid.

“Dalam masa yang sama, Ini cara terbaik untuk memperkasakan jurulatih tempatan dan melahirkan lebih ramai atlet pelapis berkualiti di peringkat akar umbi.

“Antara nama-nama yang kita cadangkan, ada yang pernah lahirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik. Kita akan mempunyai gabungan jurulatih tempatan dan luar negara, bukan hanya untuk disiplin pecut tetapi juga beberapa acara lain.

“Kita sasarkan angka 22 jurulatih ini boleh dicapai secara berperingkat pada 2025 dan 2026. Ini adalah pelaburan penting demi masa depan olahraga Malaysia, khususnya menuju Sukan Olimpik 2032,” katanya.

Bagaimanapun, segala pelantikan masih menunggu kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk urusan kontrak dan visa.

Dalam pada itu, Ballard turut memaklumkan bahawa lebih 700 jurulatih tempatan telah menerima akreditasi daripada Olahraga Dunia (WA) pada tahun lalu sekali gus menjadi angka tertinggi dalam sejarah olahraga negara. – UTUSAN