Abdul Hadi, Muhyiddin bantu kempen PN di Ayer Kuning

Politik

TAPAH: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijadual hadir ke sini bagi membantu Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Pemuda PN Perak, Hafez Sabri berkata, Abdul Hadi dijangka bersama dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu kempen PN.

“Presiden Pas akan turun. Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun. Pimpinan kanan yang lain semua sudah turun semasa malam pengumuman calon. Sekarang ini kami pun sudah bergerak di kawasan yang dijaga masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tarikh pengundian PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan pada 26 April ini susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin daripada UMNO pada 22 Februari lalu.

PN akan meletakkan Abdul Muhaimin Malek, 44, sebagai calon untuk menyaingi Mohamad Yusri Bakir, 54, daripada Barisan Nasional (BN) serta Bawani KS, 40, mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dalam pada itu, Hafez melihat tindakan pihak yang mempertikaikan kelulusan akademik Muhaimin adalah berbentuk serangan peribadi selain menggambarkan ketandusan idea pihak lawan.

Jelasnya, Muhaimin merupakan lepasan Institut Al-Fatah Al-Islamy di Damsyik, Syria selain pernah mengikuti pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kedah.

Beliau memandang tinggi tahap pendidikan yang dimiliki oleh calon UMNO, namun meminta rakyat bersikap adil terhadap perbezaan antara kedua-dua calon.

“Ini adalah isu kecil yang dimainkan pihak lawan untuk menimbulkan keraguan rakyat tehadap calon kami. Beliau (Muhaimin) mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melanjutkan pengajian.

“Latar belakangnya kukuh dan kuat. Yang berbeza calon lawan berkerjaya sebagai penjawat awam kanan tetapi menjawat jawatan parti politik, calon kita bukan penjawat awam,” katanya.

Jelasnya, Muhaimin tetap memperjuangkan isu-isu rakyat termasuk menjuarai isu bekalan beras selain dikenali oleh penduduk setempat tanpa dipengaruh oleh latar belakang pendididkannya.

Hafez juga berkata, pengundi di Ayer Kuning tidak kerugian jika memilih calon PN kerana percaya Menteri Besar Perak yang juga daripada UMNO akan menempatkan pegawai khasnya di DUN tersebut sekali gus bersama-sama memperjuangkan tuntutan setempat. – UTUSAN