Pas desak Liga Arab, OIC bangkit bela rakyat Palestin

Politik

KOTA BHARU: Liga Negara-Negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) didesak supaya bangkit membela nasib umat Islam di Palestin  yang ditindas dengan kezaliman rejim zionis Israel.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun seluruh dunia mengutuk kekejaman zionis itu, mereka tetap meneruskan serangan tanpa sedikitpun menghormati genjatan senjata.

“Kita sedar rejim zionis Israel sudah tidak menghiraukan apa-apa sekarang ini. Jadi Liga Arab dan OIC termasuk negara-negara terdekat dengan Palestin perlu bertindak untuk membela nasib rakyat Palestin,” katanya dalam sidang akhbar semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad V, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, walaupun majoriti umat Islam di Malaysia masih meraikan kemeriahan Aidilfitri tetapi di hati kecil mereka masih bersama merasai penderitaan rakyat Palestin.

Menurutnya, nasib rakyat Palestin terus menjadi fokus Pas  apatah lagi menyedari ia turut membabitkan perjuangan bagi mempertahan kedaulatan Masjidil Aqsa yang merupakan tempat suci bagi umat Islam seluruh dunia.

“Kita masih meneruskan kutipan untuk Tabung Solidariti Rakyat Palestin yang dilancarkan sejak 2023. Walaupun RM2 juta telah disampaikan kepada rakyat Palestin sebelum ini, sumbangan akan terus disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN