PETALING JAYA: Sebanyak 583 pemain dari 14 negara bakal menyertai Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka SRAFTKL Touch ‘n Go yang akan berlangsung di Gelanggang Skuasy Majlis Sukan Negara, Jalan Duta dan Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya pada 15-20 April ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini, kejohanan yang mendapat sokongan penuh daripada Kumpulan Touch ‘n Go itu merupakan pertandingan yang berada di dalam kalendar Sirkit Skuasy Remaja Asia.
Sebanyak enam kategori lelaki dan perempuan bakal dipertandingkan iaitu Bawah 19 Tahun, Bawah 17 Tahun, Bawah 15 Tahun, Bawah 13 Tahun, Bawah 11 Tahun serta Bawah 9 Tahun.
“Kumpulan Touch ‘n Go bersedia memberi komitmen kepada sukan skuasy di negara ini dengan menjadi rakan korporat rasmi untuk Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) selama tiga penggal.
“Sebagai jenama tempatan, Kumpulan Touch ‘n Go akan memainkan peranan sebagai rakan strategik dengan SRAFTKL untuk terus memberikan sokongan kepada program pembangunan pemain muda,” kata kenyataan itu.
Presiden SRAFTKL, Steven Kwan berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Touch ‘n Go sebagai rakan korporat bagi membangunkan skuasy di peringkat remaja.
“Dengan sokongan mereka, kami berupaya menyediakan program latihan yang lebih baik bagi membantu melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan juga menjayakan program kejurulatihan untuk sukan skuasy,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Touch ‘n Go Sdn Bhd, Praba Sangarajoo berkata, syarikat itu komited bagi memberikan sokongan kepada SRAFTKL dan percaya melalui sukan mampu memainkan peranan bagi membentuk generasi masa depan.
“Walaupun kerjasama ini, sasarannya adalah untuk menyediakan peluang kepada atlet muda, latihan dan sumber sokongan yang mereka perlukan.
“Kami juga berharap kerjasama ini dalam masa sama dapat melahirkan bakat muda yang berdisiplin, berdaya tahan, serba boleh dan berkeupayaan bersaing di peringkat tertinggi serta sekali gus mengharumkan nama Malaysia di arena global,” katanya. – UTUSAN