MSN sambut baik penyertaan acara Memanah compound di LA28

Sukan

PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mengesahkan acara memanah compound berpasukan campuran bakal menjadi sebahagian daripada acara rasmi yang menawarkan pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, perkembangan itu membuka ruang lebih besar buat negara untuk meraih kejayaan di temasya berprestij dunia berdasarkan prestasi cemerlang pemanah-pemanah compound Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kita telah menyaksikan beberapa pencapaian membanggakan dalam acara ini, termasuk kejayaan Alang Arif Aqil Muhammad Ghazalli dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang merangkul pingat emas dalam acara berpasukan campuran di Piala Asia Bangkok pada Februari lalu.

“Selain itu, atlet berpengalaman, Mohd Juwaidi Mazuki, juga pernah mencipta nama apabila menduduki ranking ke-20 dunia dan membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Memanah Compound Dunia di Antalya, Turkiye pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Jefri, MSN ketika ini mempunyai lapan pemanah compound di bawah Program Podium sejak 2018, terdiri daripada empat atlet lelaki dan empat wanita, yang telah menjalani latihan intensif bagi menghadapi kejohanan-kejohanan utama dunia.

Pemanah compound negara turut mencatat sejarah dengan memenangi pingat emas acara berpasukan lelaki di Piala Asia bagi edisi 2023 dan 2024 serta meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki di Sukan Asia 2018 dan 2022.

Sebelum ini, Malaysia sering melahirkan pemanah recurve yang layak secara merit ke Sukan Olimpik, termasuk tiga wakil dalam edisi Paris 2024.-UTUSAN