Pemilihan Cabang PKR: Nik Nazmi sedia hadapi cabaran Afdlin Shauki

Politik

BAGAN SERAI: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad sedia berdepan cabaran Datuk Afdlin Shauki bagi perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa pada pemilihan parti itu.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, pengumuman Afdlin yang merupakan pelakon, penerbit dan pengarah untuk bertanding bagi jawatan tersebut merupakan proses demokrasi yang sihat dan dialu-alukan.

“Saya tidak ambil mudah tapi saya terbuka. Bagi saya, itu adalah demokrasi.

“Saya percaya pengundi di Setiawangsa yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai Ahli Parlimen dua kali dan Ketua Cabang PKR dua kali, masih bersama saya.

“Namun saya alu-alukan pertandingan yang sihat dalam pemilihan ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Cawangan Hijau Pertama AgroBank Cawangan Bagan Serai di sini hari ini.

Sebelum ini, Afdlin mengumumkan akan mencabar Nik Nazmi bagi jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

Menurut Afdlin, keputusannya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa semata-mata didorong oleh aspirasinya untuk mengukuhkan lagi hubungan parti itu dengan masyarakat.

Pada pemilihan parti tahun 2022, Afdlin tewas dalam saingan merebut jawatan ketua bahagian PKR Setiawangsa kepada Nik Nazmi.

Pada pemilihan tersebut, Nik Nazmi memperoleh 482 undi, sementara Afdlin 372 undi. – UTUSAN