PETALING JAYA: Dua pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik masing-masing mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, sebentar tadi.
Pujian wajar diberikan kepada kedua-dua wakil negara tersebut apabila mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan untuk melakar kemenangan straight set pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Dalam aksi pertama menyaksikan pasangan No. 2 dunia, Sze Fei-Izzuddin dipaksa bekerja keras untuk menewaskan wakil Thailand, Kedren Kittinupong-Puavaranukroh Dechapol 21-18, 22-20 dalam pertarungan selama 48 minit.
Kemenangan itu membolehkan Sze Fei-Izzuddin melunaskan dendam mereka terhadap Kittinupong-Dechapol untuk mencatat kemenangan pertama dengan rekod pertemuan 1-1 selepas kali pertama mereka bertemu di Terbuka Denmark pada Oktober lalu.
Dalam pada itu, Aaron-Wooi Yik turut mengiringi Sze Fei-Izzuddin selepas mereka berjaya menewaskan Hariharan Amsakarunan-Ruban Kumar Rethinasabapathi dari India.
Turun selaku pilihan keenam, Aaron-Wooi Yik mengambil masa selama 37 minit untuk mencatat kemenangan 21-15, 21-14.
Menanti Sze Fei-Izzuddin di suku akhir kejohanan adalah Chen Bo Yang-Liu Yi selepas wakil tuan rumah itu menewaskan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dengan kemenangan 21-17, 22-20.
Lawan Aaron-Wooi Yik di suku akhir adalah Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto selepas pasangan dari Indonesia itu menewaskan wakil Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa-Nga 21-19, 21-23.
Bagaimanapun, dua lagi pasangan beregu lelaki negara iaitu Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal mengikut jejak langkah yang sama selepas kecundang kepada lawan masing-masing.
Arif-Roy King tewas kepada pasangan No. 3 dunia, Liang Weikeng-Wang Chang dari China dengan keputusan 21-17, 14-21, 11-21 manakala Wei Chong-Kai Wun dikalahkan oleh gandingan dari Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 12-21, 21-16, 18-21. – UTUSAN