DAPSY tubuh jawatankuasa bertindak pemansuhan AUKU

Politik

KUALA LUMPUR: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam proses menubuhkan jawatankuasa bertindak berkaitan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan DAPSY, Woo Kah Leong berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan penyertaan mahasiswa serta pihak perundangan dalam merangka satu akta baharu sebagai gantian kepada AUKU.

“Untuk pemansuhan AUKU, ini sebenarnya dalam tawaran Anak Muda Harapan sebelum pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

“Bila saya ambil alih DAPSY pada November tahun lepas, saya terus menjadikan pemansuhan AUKU sebagai salah satu gerak kerja yang kita harus buatkan.

“Saya telah tubuhkan jawatankuasa khas dalam kalangan DAPSY dan selepas saya mengambil alih sebagai Ketua Angkatan Muda Harapan pada bulan lepas, saya pun buatkan satu pemukiman khas. Kita jadikan ini sebagai agenda utama Angkatan Muda Harapan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Tambah Kah Leong, DAPSY sedang menggiatkan kempen turun padang bagi menyeru anak muda keluar mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang ditandingi oleh Barisan Nasional (BN).

Katanya, pendekatan turun padang dan penggunaan media sosial akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyeru pengundi muda daripada semua kaum keluar menunaikan tanggungjawab.

Dalam perkembangan lain, jelasnya, pihaknya juga mencadangkan program jualan rahmah diperluas ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta bagi mengurangkan beban sara hidup golongan muda.

Kah Leong berkata, cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat pengguna kebangsaan akan datang.

“Kita akan cuba laksanakan jualan rahmah di kampus-kampus yang ada, tidak kira sama ada universiti awam mahupun swasta, sebagai langkah segera membantu mahasiswa,” katanya. – UTUSAN