PETALING JAYA: Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berharap posisi penolong jurulatih Harimau Malaya yang ditinggalkan Mark Milligan diisi oleh jurulatih tempatan bagi menimba ilmu.
Katanya, keputusan Milligan yang mengakhiri tugasnya selepas dua bulan bersama skuad kebangsaan menyaksikan posisi berkenaan perlu diisi sebelum aksi berdepan Vietnam pada 10 Jun depan..
Menurut Irfan, kebiasaannya apabila ketua jurulatih pasukan kebangsaan adalah individu ‘luar’ (jurulatih luar negara) maka penolong adalah sepatutnya dalam kalangan jurulatih-jurulatih tempatan.
“Kalau boleh saya nak lihat jurulatih tempatan menjadi penolong jurulatih skuad Harimau Malaya. Tetapi semua itu terpulang kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan pengurusan Harimau Malaya untuk melantik jurulatih yang sesuai.
“Kalau kita tengok barisan jurulatih skuad kebangsaan sebelum-sebelum ini, selalunya penolong adalah dalam kalangan jurulatih tempatan kerana ilmu daripada jurulatih luar ini mampu dipelajari dan diguna pakai.
“Jurulatih luar negara selalunya tidak kekal lama dengan pasukan kebangsaan jadi apabila letak jurulatih tempatan, ilmu berguna itu akan terus kekal dengan pasukan kebangsaan atau dimanfaatkan jurulatih tempatan,” katanya.
Semalam, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengesahkan bahawa Milligan telah mengakhiri tugasannya bersama skuad kebangsaan.
Menerusi satu kenyataan rasmi, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan bekas pemain antarabangsa Australia itu sepanjang tempoh singkat bersama pasukan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mark Milligan atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
“Sungguhpun tempohnya singkat, beliau membantu langkah pertama bagi tempoh penting untuk persiapan aksi Malaysia menentang Nepal.
“Kami memahami dan menyokong keputusannya untuk mencari peluang di luar negara. Kami mengucapkan segala yang terbaik dalam usaha beliau pada masa hadapan,” kata Cklamovski.
Bekas pemain kebangsaan Australia itu, difahamkan telah ditawarkan jawatan sebagai ketua jurulatih kelab A-League di Australia, Newcastle Jets dengan kontrak selama dua tahun.
Pengunduran Milligan dijangka memberi ruang kepada pelantikan baharu dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan, dengan beberapa nama tempatan seperti Hairuddin Omar dan Aidil Zafuan Abdul Radzak disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk mengisi kekosongan tersebut.-UTUSAN