DAP Melaka gesa segerakan penggubalan Akta Pembelaan Awam

Politik

MELAKA: DAP Melaka menggesa penggubalan Akta Pembelaan Awam dipercepatkan bagi memperkasa perkhidmatan bantuan guaman, khususnya dalam kes jenayah melibatkan golongan kurang berkemampuan.

Pengerusi DAP negeri, Khoo Poay Tiong berkata, langkah itu penting bagi memastikan keadilan dapat dicapai oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang, kaum atau fahaman politik.

“Kami di DAP Melaka amat mengalu-alukan inisiatif kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang sedang mengkaji semula akta sedia ada dan mencadangkan penubuhan Pejabat Pembelaan Awam. 

“Kita ingin melihat semua rakyat mempunyai peluang sama rata dalam mendapatkan pembelaan, khususnya dalam kes jenayah yang sebelum ini agak terhad daripada segi bantuan guaman,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat DAP Melaka di Lorong Pandan di sini, hari ini.

Tambah Poay Tiong, kerajaan sedang melibatkan 10 universiti tempatan yang mempunyai fakulti undang-undang bagi mengkaji semula dan memperbaiki draf Akta Pembelaan Awam yang bakal digubal.

“Ini merupakan sebahagian daripada reformasi sistem perundangan negara dan kami berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Namun, buat masa ini, kami mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan khidmat bantuan guaman percuma setiap hari Khamis di Pejabat DAP Melaka,” katanya. – UTUSAN