PETALING JAYA: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria secara tidak rasminya bakal mengekalkan jawatannya selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029 selepas beliau menjadi calon tunggal untuk menduduki kerusi No. 1 itu dalam sesi pemilihan pada 19 April ini.
Perkara tersebut disahkan oleh panel bebas yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril yang bertanggungjawab untuk menyelia, mengurus dan mengendalikan proses Pemilihan Pemegang Jawatan MOM bagi penggal 2025-2029.
“Bagi jawatan presiden hanya satu pencalonan sahaja iaitu Tan Sri Norza yang menerima 14 pencalonan. Kalau ikutkan macam itu (menang tanpa bertanding) tetapi saya hanya boleh buat pengumuman tersebut di hari pemilihan nanti. Adatnya memang macam itu tetapi sekarang hingga hari pemilihan nanti kita tak tahu apa yang akan berlaku.
“Mungkin ada calon nak tarik diri, terlalu awal untuk saya nak mengatakan bahawa mereka ini sah menjawat jawatan tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media menjelang pemilihan MOM di Wisma MOM semalam.
Selain Norza, jawatan Setiausaha Agung secara tidak rasmi menjadi milik Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Mohd Nasir Ali manakala Bendahari bakal diisi oleh Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin selepas tidak dicabar oleh mana-mana calon.
Bagi jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang juga Naib Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad bakal merebut dengan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.
Tujuh pencalonan diterima bagi jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Chong Kim Fatt, Datuk Mohd. Sumali Reduan, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli, Gerard Monteiro, Azizul Anuar Adenan, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, Nurul Huda Abdullah.
Pemilihan bagi penggal baharu membabitkan 12 jawatan iaitu Presiden, Timbalan Presiden, lima Naib Presiden, Setiausaha Agung, dua Penolong Setiausaha Agung (satu lelaki dan satu wanita), Bendahari serta Penolong Bendahari. – UTUSAN