KUANTAN: Ketua Biro Undang-Undang Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Pahang, Abdullah Hakim Ahmad akan bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Temerloh pada 19 April ini.
Pemilihan jawatan itu bakal menyaksikan perlawanan tiga penjuru, menjadikannya salah satu kerusi panas yang dipertandingkan.
Abdullah Hakim yang juga peguam berkata, pertandingan ini merupakan proses demokrasi yang baik untuk memperkukuhkan parti tersebut.
“Beliau menyeru agar pemilihan ini berjalan harmoni, dengan fokus utama adalah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya dalam kenyataan di sini.
Abdullah Hakim berkata, beliau akan memanfaatkan pengalaman dalam bidang undang-undang dan kerja-kerja kesukarelaan demi memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Pengalaman ini juga akan digunakan secara maksimum untuk memastikan PKR terus kukuh dan relevan dalam memperjuangkan keadilan.
“Saya percaya bahawa menjadi tanggungjawab seorang pemimpin muda untuk memastikan parti ini sentiasa mendapat tempat khususnya dalam kalangan anak muda,” katanya.
Ketua Unit Undang-Undang Jawatankuasa Pilihanraya Negeri Pahang itu berkata, dengan kepimpinan baharu, beliau bertekad untuk memastikan PKR di Temerloh terus dipandang tinggi dan bermaruah. – UTUSAN