BAGAN SERAI: Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Razman Zakaria akan mematuhi ketetapan yang dibuat kepimpinan Pusat jika berlaku perubahan struktur pimpinan peringkat negeri.
Razman, yang dikatakan direhatkan daripada tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak berkata, ini kerana struktur jawatan dalam gabungan PN ditentukan sepenuhnya oleh kepimpinan pusat dan negeri akan mengikut keputusan atau perubahan yang dibuat.
Beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, pelantikan jawatan dalam PN termasuk di peringkat negeri adalah berpandukan kepada struktur Pusat iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengetuai pentadbiran manakala jawatan timbalan diberikan kepada wakil-wakil parti komponen lain seperti Pas dan Gerakan.
“Struktur di negeri ini diketuai oleh Bersatu dan jawatan timbalan terdiri daripada ketua-ketua parti komponen lain.
‘’Ini adalah struktur yang digariskan oleh Pusat dan negeri akan akur dengan susunan tersebut,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, PN dijangka melaksanakan dengan rombakan struktur kepimpinannya selepas gabungan itu bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi menilai penambahbaikan organisasi.
Langkah menambah baik struktur parti berkenaan bakal dilaksanakan secara menyeluruh dan Pas mempunyai cadangan beberapa penambahbaikan kepada PN secara keseluruhannya.
Kata Tuan Ibrahim, Majlis tertinggi (PN) bersetuju tubuhkan jawatankuasa untuk menilai kembali.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengulas sama ada Pas sudah mengemukakan calon bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang meletakkan jawatan Bendahari Agung PN sebelum ini.
Razman dikatakan direhatkan daripada jawatannya sebagai Pesuruhjaya Pas Perak namun masih kekal sebagai Ketua Pembangkang Perak. – UTUSAN