Aaron-Wooi Yik ke separuh akhir BAC 2025

Sukan

PETALING JAYA: Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 selepas menundukkan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, sebentar tadi.

Beraksi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China, juara dunia 2022 itu tidak berdepan kesukaran untuk mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-11 dalam tempoh 30 minit sahaja.

Turun sebagai pilihan ketiga kejohanan, Fajar-Rian gagal memberikan tentangan sengit apabila Aaron-Wooi Yik tampil lebih bertenaga dan konsisten sepanjang perlawanan bagi mendominasi permainan.

Lebih membanggakan, kemenangan itu merupakan yang keenam buat pasangan ranking keenam dunia itu dalam 10 pertemuan menentang Fajar-Rian, sekali gus meneruskan momentum selepas turut menewaskan lawan sama dalam aksi Jelajah Dunia Akhir tahun lalu.

Kejayaan mara ke separuh akhir ini juga memberi tonik terbaik buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu selepas prestasi kurang memuaskan pada dua kejohanan sebelum ini di Orleans Masters dan All England.

Cabaran lebih getir menanti Aaron-Wooi Yik apabila mereka dijadual bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, yang sebelum ini menyingkirkan satu lagi beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin, dengan keputusan 21-19, 21-19.-UTUSAN