Pemain beri aksi 5 bintang

Sukan

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memuji aksi anak buahnya yang memberikan persembahan lima bintang ketika membelasah pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 9-0 dalam aksi Liga Super, kelmarin.

Menurut pengendali kelahiran Argentina itu, para pemain mempamerkan aksi konsisten dalam saingan Liga Malaysia musim ini dan rentak kemenangan perlu dikekalkan untuk aksi terakhir berdepan Kuching City FC, Rabu ini.

“Pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi biarpun berdepan kelab yang bergelut bagi memastikan tiga mata berada dalam genggaman. Mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik.

“Kesungguhan ini yang dituntut daripada setiap pemain dari awal musim dan mereka berjaya membalas kepercayaan yang diberikan. Walaupun berdepan perjalanan liga panjang, pemain kekal konsisten,” katanya.

Ketua jurulatih berusia 57 tahun itu turut memuji aksi memukau Bergson Da Silva yang meledak lima gol pada babak pertama ketika membantu pasukan menjinakkan Kijang Emas.

“Apabila pasukan memerlukan penyerang yang bekerja keras dan kerap beri tekanan terhadap benteng lawan, Bergson bersedia memikul tugas itu.

“Malah, dia turut cemerlang bermain secara berpasukan apabila membentuk gerakan dengan Jese Rodriguez ketika membantu Romel Morales menjaringkan dua gol,” katanya.

Mengenai aksi final Piala Malaysia, Bidoglio enggan memikirkan pertembungan menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 26 April ini kerana mahu memberi tumpuan aksi terakhir Liga Super menentang Kuching City FC terlebih dahulu.

“Ketika ini, tumpuan kami terarah terhadap pertemuan menentang Kuching City FC, ini adalah fokus utama kami. Jadi, biarlah kami harungi perlawanan ini terlebih dahulu.

“Tambahan pula, lawan kami bukanlah pasukan yang mudah, mereka menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.-UTUSAN