PETALING JAYA: kecederaan di bahagian otot menjadi punca ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong gagal melangkah ke final Kejohanan Piala Dunia Terjun Akuatik 2025 di Windsor, Kanada kelmarin.
Pengarah Teknikal Program Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee berkata, Pandelela ditimpa kecederaan semasa sesi pemanas badan sebelum pertandingan, sekali gus menjejaskan prestasinya dalam kejohanan itu.
“Pandelela mengalami kesakitan pada otot triceps semasa sesi panas badan. Keadaan itu menyebabkan beliau tidak mampu memberikan aksi terbaik ketika saingan berlangsung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Pandelela sebelum ini juga gagal melayakkan diri ke final Kejohanan Piala Dunia Terjun 2025 di Mexico.
Menurut Ken Nee, faktor pemilihan teknik dan strategi terjunan turut mempengaruhi prestasi penerjun berusia 31 tahun itu.
“Saya perhatikan dia masih menggunakan teknik yang sama pada terjunan pertama dan terjunan keempat dalam kejohanan ini.
“Ini memberi kesan kepada keputusan keseluruhannya. Kita akan berbincang lebih lanjut sebaik dia kembali ke Malaysia untuk menilai semula strategi yang digunakan,” katanya.
Meskipun mengalami gagal dalam dua kejohanan berturut-turut, Ken Nee menegaskan Pandelela masih mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan apabila turun beraksi dalam Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 3 Ogos depan di Singapura.
“Kejohanan di Singapura sangat penting. Ia merupakan kejohanan bertaraf dunia dan saya harap Pandelela dapat melakukan perubahan untuk memastikan prestasinya berada pada tahap terbaik,” tambahnya.-UTUSAN