Ahmad Samsuri nafi tarik balik kenyataan isu TCO

Politik

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan beliau menarik balik kenyataan berhubung status dirinya di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO).

Menteri Besar Terengganu itu juga menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengatakan  beliau mengeluarkan kenyataan susulan berhubung perkara tersebut.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd. Nasir Abd Razak berkata, hantaran tersebut adalah fitnah bertujuan mencemarkan imej dan kredibiliti Ahmad Samsuri sebagai pemimpin negeri.

“Beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau posting seperti yang telah disiarkan oleh laman media sosial berkenaan.

“Kapsyen yang digunakan ternyata satu fitnah dan siaran tersebut perlu ditarik balik dengan segera,” katanya menerusi kenyataan dalam laman sosial rasmi Menteri Besar Terengganu hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri mendakwa dirinya telah dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau secara ketat oleh pihak tertentu.

Naib Presiden Pas itu berkata, beliau juga perlu melalui prosedur kawalan keselamatan ketat, termasuk semasa berada di sempadan Sabah dan Sarawak, serta memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke destinasi tertentu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada  keperluan untuk meletakkan Menteri Besar Terengganu itu dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah. – UTUSAN