Kembalikan aksi Harimau Malaya ke SNBJ

Sukan

PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan mengharapkan aksi Harimau Malaya kembali ke ‘kandang’ keramat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Setakat ini, belum ada sebarang kata putus berkenaan venue perlawanan untuk aksi Harimau Malaya berdepan Vietnam pada 10 Jun depan.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub berharap SNBJ akan kembali menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya.

Katanya, perlawanan menentang Vietnam amat penting dan ia bakal menjadi penentu kepada peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal, dan Laos perlu menjadi juara kumpulan jika berhasrat untuk beraksi di Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 7 Januari hingga 5 Februari 2027 di Arab Saudi.

“Memang hasrat kita nak kembalikan perlawanan-perlawanan melibatkan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil. Apa pun kita akan buat mesyuarat kembali untuk bincang SNBJ kembali menjadi venue untuk perlawanan melibatkan skuad kebangsaan.

“Kita tahu perlawanan menentang Vietnam sangat penting. Jadi seharusnya perlawanan itu berlangsung di gelanggang keramat kita. Semua itu akan diputuskan nanti,” katanya.

Pada aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal menyaksikan perlawanan itu dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac lalu, dengan kemenangan 2-0 memihak Malaysia.

Tidak dinafikan gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu adalah venue terbaik di Malaysia dan antara tercanggih di Asia.

Namun, aura Stadium Nasional Bukit Jalil yang sekian lama menjadi gelanggang rasmi bagi perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya, menjadikan ia cukup istimewa untuk penyokong-penyokong skuad kebangsaan.-UTUSAN