PETALING JAYA: Jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran percaya anak buahnya, Justin Hoh akan lebih matang pada kejohanan yang bakal disertainya selepas ini.
Keyakinan itu disuarakan oleh Yogendran selepas melihat keupayaan anak didiknya itu menewaskan lawan yang berada di kedudukan ranking lebih baik daripadanya.
Terdahulu, Justin berada di tangga ke-48 dunia berjaya mengatasi pemain di ranking ke-40, Jeon Hyeok-jin dari Korea Selatan dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di China.
Bagaimanapun, Justin, 21, tersingkir pada pusingan kedua kejohanan tersebut selepas terpaksa akur dengan kehebatan pemain No.4 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie.
“Sebelum ini, kita lihat Justin menang dengan pemain Korea Selatan yang ada ranking jauh lebih bagus daripadanya dan dia boleh mengatasinya dengan kemenangan.
“Kelmarin pula, Justin lawan Jonatan dan dia pemain yang lebih berpengalaman malah dia merupakan lawan pertama Justin yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
“Jadi, saya rasa ini memberi satu pengalaman yang bagus kepada Justin. Menentang Jonatan dia terburu-buru pada set pertama sebab tak dapat ikut rentak tetapi pada set kedua dia sudah boleh ikut cuma masa kedudukan 19-19 masih belum matang.
“Dia mahu cepat habiskan perlawanan, itu punca dia membuat kesilapan pada pukulan servis. Selepas berbincang, dia faham dan berharap perlawanan itu memberi pengalaman kepada dirinya untuk menjadi lebih matang pada kejohanan seterusnya,” katanya.
Kekalahan Justin itu menandakan negara tidak mempunyai wakil perseorangan lelaki selepas Leong Jun Hao dan Ng Tze Yong tewas kepada lawan masing-masing di pusingan pertama.-UTUSAN