Ahmad Zahid sedia bantu calon BN bangunkan Ayer Kuning

Politik

TAPAH: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sedia membantu calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Bakir dalam pembangunan di Ayer Kuning sekiranya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Timbalan Perdana Menteri berkata, Mohamad Yusri akan meneruskan tugas-tugas Allahyarham Ishsam Shahrudddin daripada BN yang menang semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) tahun 2022.

“Saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anak negeri Perak, kalau beliau (Mohamad Yusri) menang dengan cemerlang, Insya-Allah saya akan membantu beliau untuk membawa pembangunan di kawasan Ayer Kuning ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Kemahiran Keibubapaan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Tarikh pengundian PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan pada 26 April ini susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam daripada UMNO pada 22 Februari lalu.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan BN yang mencalonkan Mohamad Yusri, 54, ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN berkata, pemilihan Mohamad Yusri adalah tepat bersandarkan latar belakang dalam aspek keagamaan dan akademik.

“Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan jangan salah pilih (calon). Walaupun yang seorang lagi itu ustaz juga, tetapi yang ini ustaz besar yang lebih kita boleh percayai. Insya-Allah beliau akan bawa kemajuan di seluruh kawasan Ayer Kuning,” katanya.

Ahmad Zahid yang memegang portfolio Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mahu memastikan semua institusi di bawah kementeriannya seperti tadika dan MRSM berkualiti dan menumpukan pendidikan agama serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dalam majlis itu yang turut dihadiri oleh masyarakat Orang Asli setempat, Ahmad Zahid berkata usaha pembangunan tidak meminggirkan Orang Asli untuk mendapat akses pendidikan dan pekerjaan. – UTUSAN