KUALA LUMPUR: Pelari 400 meter (m), Shereen Samson Vallabouy menjadi calon pilihan oleh Olahraga Malaysia (MA) untuk mengisi satu-satunya slot wildcard ke Kejohanan Dunia Olahraga di Tokyo, Jepun pada September ini.
Pelari berusia 27 tahun itu berpeluang memperoleh tiket wildcard sekiranya tiada mana-mana atlet yang layak secara merit ke Kejohanan Dunia terbabit.
Presiden MA Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan memilih Shereen dibuat selepas perbincangan melibatkan pelbagai pihak, termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan pengurusan tertinggi MA.
“Wildcard ini kita putuskan untuk diberikan kepada Shereen berdasarkan prestasi semasa dan juga potensi beliau dalam acara 400 meter.
“Kita nak letakkan satu persediaan yang membolehkan atlet kita muncul di pentas dunia dan Shereen adalah calon terbaik ketika ini,” kata Shahidan kepada pemberita selepas ahli majlis MA di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 masih belum diputuskan oleh MA untuk berlari dalam acara 100m dan 400m serta penyertaannya akan diputus berdasarkan garis panduan Olahraga Dunia (WA).
Sebelum ini, Shereen membuktikan beliau dalam kelas tersendiri apabila meraih kejuaraan pertama dalam 400m dengan catatan 53.72 saat (s) pada Kejohanan Embry-Riddle Running Elements Classic 2025 di Florida, Amerika Syarikat (AS).
Dalam pada itu, Pengarah Teknikal MA Robert Ballard bagaimanapun menjelaskan bahawa peluang masih terbuka kepada semua atlet untuk layak secara merit ke Kejohanan Dunia.
Bagi melayakkan diri secara merit menerusi acara 400m, Shereen harus mencatatkan mencatatkan 50.75s, 22.57s dalam acara 200m dan 11.07s bagi acara 100m. – UTUSAN