TAPAH: Barisan Nasional (BN) tidak bercadang untuk mengadakan ceramah besar-besaran sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera parti akan menggunakan strategi menyantuni pengundi secara terus dengan turun ke lapangan.
“Dari segi kesiap-siagaan, jentera di bawah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah pun digerakkan dan selaku Pengarah Pilihan Raya ini, saya melihat gerak kerja yang dilakukannya.
“Saya memberikan keyakinan penuh kepada beliau (Saarani). Gerak kerja yang luar biasa dan insya-Allah, kita mempunyai calon yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi dan penduduk di sini.
“Kami tidak berhajat untuk mengadakan ceramah secara besar-besaran, sebaliknya lebih menyantuni pengundi di sekitar Ayer Kuning. Kita mengharapkan komposisi pengundi daripada pelbagai kaum di Tapah, khususnya di DUN Ayer Kuning ini untuk memberikan sokongan dan dukungan kepada calon kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah di sini, hari ini.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri Bakir, 54, menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu ditentang calon PN, Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani K.S., 40.
Menurut Ahmad Zahid, beliau tidak menjanjikan sebarang pembangunan di Ayer Kuning, namun yakin bahawa pemilihan Mohamad Yusri akan meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu sebelum ini.
“Secara kebetulan Ayer Kuning adalah kawasan luar bandar dan insya-Allah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memikirkan tentang pembangunan infrastruktur yang berterusan di sini.
“Kita harap pengundi-pengundi di Ayer Kuning ini akan dapat memberikan sokongan kepada beliau (Mohamad Yusri) kerana dia telah berjanji dengan saya untuk memberikan kesinambungan perkhidmatan sebagaimana yang telah diberikan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin,” katanya. – UTUSAN