ALOR SETAR: Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai yang juga bekas Ahli Parlimen Alor Setar menang pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Alor Setar, semalam.
Ming Kai memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Alor Setar setelah menerima 932 undi mengatasi pencabarnya, Ang Say Thong yang mendapat 471 undi.
Penyandang jawatan itu, Datuk Zamri Yusuf pula dipilih sebagai Timbalan Ketua PKR Cabang itu yang sebelum ini disandang oleh Ming Kai, setelah beliau memperoleh 768 undi mengatasi Fadhlurrahman Zawawi yang menerima 621 undi.
Bagi Cabang Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang juga Ahli Parlimen kawasan itu diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang selain jawatan timbalan menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Loh Wei Chai turut menang tanpa bertanding.
Ketua PKR Cabang Langkawi, Ismail Wasi Ahmad Shafawi mempertahankan jawatan selepas menerima 660 undi dalam pertandingan tiga penjuru, sementara jawatan timbalan dimenangi Ahmad Ramli Shaarani.
Bagi Cabang Jerlun, jawatan ketua dimenangi Mohamad Rudzi Samsudin yang mengalahkan bekas calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jerlun, Dr. Mohamed Fadzil Mohd. Ali sementara timbalan dimenangi Muhamad Nadzrin Ibrahim.
Pertandingan empat penjuru jawatan Ketua PKR Cabang Kubang Pasu menyaksikan Azizi Azizan berjaya mengenepikan pencabarnya selepas mendapat 424 undi manakala S. Sugumar turut menang dalam pertembungan empat penjuru bagi jawatan timbalan.
Mohd. Tahar Hussin pula diumumkan sebagai pemenang bagi jawatan Ketua PKR Cabang Padang Terap bersama timbalannya, Mohd. Hafiz Mohd. Akhir sementara Mohd. Altab P.A. Ibrahim dan Che Zahari Che Ani masing-masing dipilih sebagai ketua cabang dan timbalan di Pokok Sena.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Azman Ismail tewas bagi perebutan jawatan ketua cabang itu kepada Mohamad Shakir Lukman Hakim manakala jawatan timbalan dimenangi Datuk Muhamad Nasrul Nizar Abd Rahman.
Bekas calon PH Parlimen Pendang, Datuk Zulkifly Mohamad turut tewas bagi jawatan ketua cabang disandangnya kepada Datuk Halim Khomiza sementara jawatan timbalan dimenangi Sazari Mohamad.
Dalam pada itu, percubaan Mohammed Firdaus Johari yang juga anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk merebut jawatan Ketua PKR Cabang Jerai tidak kesampaian apabila tewas kepada S. Poobalan sementara Mohd. Soferi Mohamad diumumkan menang jawatan timbalan.
Jawatan Ketua PKR Cabang Sik dimenangi Habib Ahmad Muhaiyuddin Habib Danial dan timbalannya ialah Ewe Hua Choon, sementara kedua-dua jawatan itu di Cabang Baling masing-masing dimenangi M. S. Chandar dan Mohd. Ashraf Abu Bakar.
Cabang Merbok dimenangi M. Yugins (ketua) dan Mohd. Khairulizal Khazali (timbalan); Cabang Padang Serai, Shamsul Anuar Abdullah (ketua) dan Ramli Abd. Rani (timbalan) sementara Cabang Kulim Bandar Baharu dimenangi Yeo Keng Chuan (ketua) dan S. Sivaguru (timbalan).
Keputusan bagi pemilihan sayap wanita PKR Kedah peringkat cabang turut diumumkan hari ini kecuali pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang melalui proses pengundian semula setelah dibatalkan semalam. – UTUSAN