KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa kononnya ‘ditahan’ di sebuah lapangan terbang di negara ini, baru-baru ini.
Dakwaan itu dilakukan satu laman Facebook pro Pas pada malam ini, berdasarkan sekeping gambar Ahmad Samsuri sedang duduk di kerusi di lapangan terbang tersebut yang diterima daripada orang awam.
Naib Presiden Pas itu didakwa ditahan di pintu masuk di lapangan terbang tersebut.
Menurut Admin Facebook itu, orang awam berkenaan mendakwa Ahmad Samsuri ditahan bukan sekadar untuk meminta dokumen.
“Tahan bukan sekadar minta dokumen, tapi terus tarik ke tepi. Tanpa penjelasan. Macam suspek kes jenayah besar. Orang awam yang lalu-lalang mula memandang, ada yang bisik-bisik, ada yang memandang dengan curiga.
“Wajah beliau (Ahmad Samsuri) yang sentiasa tenang, pada hari itu tunduk sedikit, bukan kerana bersalah, tapi kerana maruah yang dijatuhkan di khalayak ramai,” tulisnya berdasarkan maklumat orang awam itu.
Admin Facebook itu berkata, sebelum dilepas, panggilan dibuat bagi mendapat persetujuan satu cawangan khusus bagi mendapat kebenaran keluar dari kawalan sempadan atau tidak.
Media semalam melaporkan Ahmad Samsuri mendakwa dirinya telah dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau secara ketat oleh pihak tertentu.
Menurutnya,, beliau juga perlu melalui prosedur kawalan keselamatan ketat, termasuk semasa berada di sempadan Sabah dan Sarawak, serta memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke destinasi tertentu. – UTUSAN