Adik-beradik Marquez kuasai petak depan

Sukan

LUSAIL: Marc Marquez muncul wira kelayakan Grand Prix (GP) Qatar apabila memecahkan rekod litar Lusail dan merampas petak utama, sementara saingan kejuaraan Francesco Bagnaia terjatuh dan bakal bermula dari barisan keempat.

Pelumba Sepanyol itu, yang sedang memburu kejuaraan bersama Ducati, mencatat petak utama ke-70 dalam kariernya dan pertama di Qatar sejak 2014, sekali gus menebus kekecewaan selepas terjatuh ketika mendahului di Austin, Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Adiknya, Alex Marquez, yang kini mendahului carta keseluruhan, turut cemerlang apabila mencatat masa terpantas sebelum dipintas oleh Marc, memastikan barisan depan dikuasai dua beradik itu.

Fabio Quartararo dari Yamaha melengkapkan barisan hadapan dengan kejutan manis apabila meraih petak ketiga – yang pertama sejak tiga musim lalu.

Bagnaia, juara dunia dua kali yang kini hanya lapan mata di belakang Alex, hilang kawalan jentera di penghujung sesi dan sekadar mencatat masa ke-11, menyebabkan dia akan bermula dari petak keempat.

Sementara itu, juara bertahan Jorge Martin yang baru pulih daripada kecederaan serius, gagal mara ke sesi kelayakan terakhir dan hanya akan bermula dari barisan kelima.

Perlumbaan pecut dijadualkan bermula jam 1 pagi Ahad waktu Malaysia, dengan Marquez bersaudara pastinya menjadi tumpuan utama peminat MotoGP.

Saingan kejuaraan semakin sengit dengan hanya lapan mata memisahkan tiga nama besar iaitu Alex, Bagnaia dan Marc yang menjanjikan pertarungan epik di padang pasir Lusail. – AGENSI