ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak berpeluang menghadiahkan kemenangan dalam aksi terakhir mereka di laman sendiri musim ini, apabila terikat 1-1 dengan pasukan tangga ketiga Liga Super, Sabah FC di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Perlawanan berlangsung seimbang sejak dimulakan sebelum pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan penalti pemain tengah, Amirul Hisyam Awang Kechik pada minit ke-16.
Sepakan itu dianugerahkan pengadil, Nazmi Nasaruddin setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pertahanan Sabah FC, S. Kumaahran melakukan kekasaran dengan mengangkat kaki tinggi hingga mengenai muka penyerang Sang Kenari, Ebenezer Assifuah.
Hanya tiga minit berselang, Assifuah hampir menggandakan jaringan namun sepakan volley dilakukannya menggunakan kaki kiri dari luar kotak penalti, hanya sedikit tersasar di kanan pintu gol lawan.
Di sebalik kesungguhan ditunjukkan Sabah FC untuk menyamakan kedudukan, KDA FC berpeluang mendapat gol kedua pada minit ke-37 namun pemain sayap lincah, Fayadh Zulkifli gagal memperdaya bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat meskipun kedua-dua mereka berada dalam kedudukan satu sama satu.
Minit ke-40, perangkap ofsaid dilakukan pertahanan Sabah FC sekali lagi bocor untuk membolehkan pemain muda tuan rumah, Afeeq Iqmal melepasinya. Rembatan leret Afeeq dari sebelah kiri gawang sedikit tersasar walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas, sekali gus mengecewakan impian penyokong tuan rumah untuk melihat tambahan jaringan.
Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah dilihat terus menguasai perlawanan dengan beberapa gerakan menarik berjaya diatur bagi mendatangkan ancaman kepada pelawat.
Ancaman berterusan itu bagaimanapun tidak mematikan semangat Sabah FC untuk melawan apabila gol penyamaan yang dicari, hadir pada minit ke-61 menerusi jaringan Darren Lok.
Bekas penyerang kebangsaan itu terlebih dulu melaksanakan gerakan satu dua bersama Miguel Cifuentes sebelum dia melepaskan rembatan ke penjuru kanan gawang tuan rumah, yang gagal dijangkau penjaga gol Sang Kenari, Wan Syazmin Wan Ruzaimi.
KDA FC cuba membalas melalui rembatan kaki kiri dilakukan Afeeq dari luar kotak penalti pada minit 67. Khairul Fahmi bagaimanapun bertindak cemerlang melayangkan badan ke kiri gawang untuk menyelamatkan keadaan.
Kedua-dua pasukan kemudian terus buntu untuk mencari jaringan tambahan meskipun kedua-dua jurulatih bertindak melakukan beberapa pertukaran, termasuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi di bahagian serangan. – UTUSAN