PRK Ayer Kuning: PN tolak kempen serangan peribadi

Politik

LARUT: Perikatan Nasional (PN) menolak kempen berbentuk serangan peribadi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, untuk itu semua parti bertanding diminta menjaga etika sepanjang kempen PRK tersebut.

Menurutnya, walaupun berbeza ideologi politik, kempen harus tertumpu kepada keupayaan calon, bukannya menyerang peribadi individu.

“Ini adalah proses untuk memilih wakil rakyat. Siapa pun menang, dia akan menjadi wakil kepada semua rakyat di kawasan tersebut.

“Jadi tak sepatutnya kita melakukan sesuatu yang boleh mengaibkan orang lain.

“Saya selalu menasihatkan rakan-rakan dalam PN agar tidak membangkitkan isu-isu peribadi.

“Yang penting, rakyat tahu bahawa calon kita adalah individu yang layak dan bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Bersatu di Dataran Selama semalam yang dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung.

Turut hadir Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengenai kempen PN di Ayer Kuning, Hamzah berkata, PN akan memperhebat kempen secara berperingkat dengan fokus utama bertemu seramai mungkin pengundi di peringkat akar umbi.

Menurutnya, jentera kempen akan menyampaikan maklumat sebenar mengenai hala tuju parti serta calon yang diketengahkan.

“Kempen baru sahaja bermula dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi jentera dan sambutan pengundi.

“Kita lihat dalam dua tiga hari ini bagaimana perkembangan kempen. Selepas itu, kita akan pertingkatkan lagi sehingga ke hari terakhir,” ujarnya. – UTUSAN