TAPAH: Semua pihak perlu patuh dengan tidak mengumumkan sebarang peruntukan penyaluran dana dan projek pembangunan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sepanjang kempen pilihan raya itu, semua pihak perlu patuh dengan garis panduan yang telah ditetapkan.
“Semua pihak perlu patuh. ‘We want a fair fight’ (kami mahu pertandingan yang adil) dan lebih penting elak perkara itu daripada berlaku,” katanya kepada pemberita di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Ayer Kuning di sini hari ini.
Ketua Penerangan PKR itu terdahulu mengadakan lawatan kerja singkat sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) Nadi Ayer Kuning yang julung kali diadakan.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan lebih RM1.63 juta bagi pelaksanaan 33 projek di seluruh Parlimen Tapah termasuk DUN Ayer Kuning pada tahun ini.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar peruntukan itu di kawasan yang sedang berdepan pilihan raya sebagai satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Ia melibatkan pertandingan tiga penjuru iaitu calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. – UTUSAN