Isu tauliah, sampai waktu saya akan jawab – calon PN

Politik

TAPAH: Calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek belum bersedia untuk mengulas mengenai dakwaan menipu dalam permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri ini.

Abdul Muhaimin, 44, berkata, beliau menunggu masa yang sesuai untuk menjawab dakwaan berkenaan.

“Kalau isu itu (tauliah) saya tak perlu bagi komen. Saya nak beri harapan, saya nak orang tanya apa harapan saya sahaja, isu-isu saya tak mahu jawab sangat.

“Tak mengapa, biarlah mereka mainkan isu itu. Insya-Allah, jika sampai waktu, kita akan jawab,” katanya ketika ditemui selepas solat Zohor di Masjid Jamek Tapah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini.

Abdul Muhaimin yang merupakan Yang Dipertua Pas Tapah didakwa menipu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi dalam kenyataannya meminta siasatan dijalankan terhadap dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan tanpa kompromi.

Beliau berkata, sebarang percubaan menipu bagi permohonan tauliah bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi agama, malah merupakan penghinaan kepada institusi diraja.

Jelasnya, rakyat Ayer Kuning berhak memilih pemimpin yang bersih, berintegriti dan menghormati institusi negeri.

“Di Perak, tauliah mengajar agama Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak melalui Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.

“Permohonan tauliah tertakluk kepada proses ketat termasuk ujian bertulis, temu duga, dan tapisan latar belakang. Kelulusan akhir hanya diberikan dengan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku ketua agama Islam negeri,” katanya. – UTUSAN