Amanah Perak gesa siasat tauliah mengajar agama calon PN

Politik

IPOH: Amanah Perak menggesa pihak berkuasa agama menyiasat dakwaan calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Ayer Kuning memperoleh tauliah mengajar agama di negeri ini walaupun terlibat dalam politik.

Calon PN, Abdul Muhaimin Malek, 44, merupakan Yang Dipertua Pas Tapah dan guru tauliah negeri Perak sejak 2012.

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, Amanah Perak memandang serius dakwaan tersebut dan mahu siasatan dijalankan dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.

Menurutnya, di Perak, tauliah mengajar agama Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak, melalui Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.

Beliau berkata, permohonan tauliah tertakluk kepada proses ketat termasuk ujian bertulis, temuduga dan tapisan latar belakang dan kelulusan akhir hanya diberikan dengan perkenan Sultan Perak, selaku Ketua Agama Islam Negeri.

“Sehubungan itu, sebarang cubaan menipu dalam permohonan tauliah bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi agama, malah merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja serta derhaka kepada titah Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.

“Peraturan semasa juga dengan jelas menyatakan bahawa individu yang memegang jawatan dalam parti politik atau bertanding dalam pilihan raya tidak layak diberikan tauliah mengajar.

“Jika dakwaan ini benar, maka jelas calon tersebut telah memperoleh tauliah secara tidak sah dan menipu pihak berkuasa agama, selain melanggar garis panduan dan peraturan sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Asmuni berkata, tindakan itu bertentangan dengan titah Sultan Perak sendiri, yang sebelum ini telah menegur secara terbuka usaha menyalahgunakan institusi agama dan tempat ibadah bagi kepentingan politik kepartian.

Menurutnya, perbuatan seperti ini bukan sahaja mencemar kesucian masjid dan surau, malah mencerminkan sikap tidak menghormati arahan tertinggi negeri.

“Perbuatan ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, pelanggaran undang-undang syarie, serta mencemar kedaulatan Raja Berperlembagaan. Ia memperlihatkan sifat tidak jujur dan oportunis yang tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin rakyat.

“Kami menyeru agar pihak berkuasa agama menyiasat secara menyeluruh dakwaan ini dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi. Rakyat Ayer Kuning berhak memilih pemimpin yang bersih, berintegriti dan menghormati institusi negeri,” katanya. – UTUSAN