Chelsea terus ‘tergelincir’ ke Liga Juara-juara

Sukan

LONDON: Chelsea terus tercicir mata dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara apabila sekadar seri 2-2 menentang pasukan tercorot, Ipswich Town di Stamford Bridge, malam tadi.

Kelekaan pertahanan tuan rumah dihukum awal apabila Julio Enciso meledak gol pembukaan hasil hantaran Ben Johnson pada minit ke-19.

Enciso kemudian membalas budi 12 minit kemudian apabila hantarannya disudahkan Johnson dengan tandukan padu untuk meletakkan Ipswich mendahului 2-0.

Chelsea yang lesu di babak pertama bangkit selepas rehat apabila Axel Tuanzebe menjaringkan gol sendiri hanya beberapa saat selepas permainan bersambung.

Jadon Sancho muncul penyelamat tuan rumah apabila sepakan melengkungnya dari luar kotak penalti pada minit ke-79 menerjah penjuru gawang untuk menyamakan kedudukan.

Pelawat hampir dihukum dalam lima minit terakhir tetapi penjaga gol Ipswich, Alex Palmer menjadi wira dengan menyelamatkan percubaan bahaya Trevoh Chalobah, Enzo Fernandez dan Cole Palmer.

Keputusan itu meletakkan Chelsea di tangga kelima, slot terakhir Liga Juara-Juara tetapi hanya satu mata di depan Newcastle yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Ipswich kekal di kedudukan ke-18 liga dan hanya keajaiban mampu menyelamatkan mereka daripada tersingkir ke Championship musim depan. – AGENSI